Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan undang-undang zalim termasuk hukuman mati mandatori sebenarnya bertentangan dengan undang-undang syariah Islam.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, undang-undang syariah telah menetapkan mana-mana kes melibatkan kehilangan nyawa dengan bukti jelas, pesalah perlu dihukum mati.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori adalah bertentangan dengan undang-undang syariah.

“Di bawah undang-undang syariah, jika kita bunuh seseorang dan buktinya jelas, dia boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya berucap pada rundingan meja bulat untuk mengekalkan hukuman mati mandatori untuk pembunuh di Wisma MCA, di sini, hari ini.

MGF22032019_BICARA ISU HUKUMAN MATI09
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap pada Program Bicara Isu Hukuman Mati di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

Kerajaan PH bercadang menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati atas budi bicara mahkamah bagi sembilan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971.

Rabu lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata langkah itu selaras dengan janji ke-27 manifesto PH untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Katanya, kerajaan tidak ada cadangan untuk memansuhkan hukuman mati bagi mana-mana undang-undang yang ada di negara ini.

Aminuddin juga membidas dakwaan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan hukuman mati mandatori sebagai mempunyai sentimen balas dendam dalam pelaksanaannya.

“Ini bukan balas dendam, ini adalah tentang keadilan,” tegasnya.

Katanya lagi, lebih mengejutkan apabila kumpulan hak asasi manusia itu lebih mengambil berat dan simpati kepada penjenayah berbanding mangsa.

“Mereka lebih simpati penjenayah daripada mangsa. Bagaimana perasaan dan traumanya keluarga mangsa.

“Lihat bagaimana di New Zealand, ahli keluarga mangsa tembakan rambang dalam keadaan trauma,” katanya lagi. – MalaysiaGazette