Husam Musa

KUALA LUMPUR – Datuk Husam Musa didakwa ‘perasan’ masih menjadi ahli atau Naib Presiden Pas apabila mengeluarkan kenyataan berhubung piagam yang bakal dimeterai oleh UMNO dan Pas.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga didakwa seorang yang busybody, suka campur tangan urusan dalaman parti lain.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, parti itu telah melalui proses yang begitu teliti dan berhemah dalam membuat keputusan mengenai kerjasama antara Pas dan UMNO.

“Bermula dari Majlis Syura Ulamak, AJK Pas pusat, agensi-agensi tertentu yang dilantik oleh parti untuk membuat kajian, memproses maklumat, merencana asas tindakan sehinggalah akhir nanti, ahli-ahli Pas melalui perwakilan masing-masing akan bermesyuarat dan berbincang mengenainya di muktamar tahunan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

MGF05092017_FASTAQIM008

Nasrudin melihat kenyataan Husam itu sebagai sebahagian daripada percubaan Pakatan Harapan  (PH) untuk meletuskan propaganda supaya timbul rasa tidak puas hati daripada kalangan ahli terhadap kerjasama Pas dan UMNO.

“Satu percubaan untuk menyembunyikan resah keterlaluan yang sedang dialami oleh mereka. Sebelum ini beberapa pemimpin DAP cuba palitkan kerjasama Pas dan UMNO sebagai Taliban dan pengisytiharan perang dengan non malay.

“Kini pemimpin Amanah pula cuba cetus spekulasi mengenai kerjasama tersebut ekoran timbul cadangan pembentukan piagam kerjasama antara Pas dan UMNO kelak,” ujarnya.

Nasrudin mendakwa, PH sedang kelam kabut di saat Pas dan UMNO mengatur rencana untuk mengeratkan kerjasama kedua parti khasnya dan orang Melayu yang beragama Islam amnya tanpa sedikit pun lalai daripada turut sama melibatkan kerjasama serta sokongan bukan Islam.

Berikutan itu, beliau menasihatkan Husam supaya fokus urusan dalaman PH sendiri yang masih tidak stabil dan menghadapi kemelut saingan dalaman yang begitu ketara antara parti gabungan itu.

“Husam cuba ‘menilik’ masa depan Pas dan UMNO dengan menganggap hubungan ini tidak akan lama. Sedang beliau lupa nak tilik nasib parti sendiri yang terumbang ambing di dalam PH,” menurut Nasrudin.

Semalam, Husam menyifatkan, piagam yang bakal dimeterai Pas dengan UMNO tidak menjamin hubungan akan terjalin erat atau kekal lama antara kedua-dua parti itu.

Malah, beliau berharap kerjasama yang akan ditandatangani selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bukan semata-mata untuk mencapai kuasa tertentu dan mendapat persetujuan ahli secara terbuka, selain memberi kebaikan kepada negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.