Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan dan apabila gagal membayarnya termasuk faedah yang berjumlah lebih RM50 bilion, maka kerajaan terpaksa menanggung dan bertanggungjawab.

Itu kata mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebagaimana dijelaskan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen pada Khamis lalu, sehingga akhir Februari 2022 . jumlah hutang 1MDB yang masih perlu dibayar ialah RM38.8 bilion.

“Jumlah itu merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah hutang. Pada Januari lalu pula, Tengku Zafrul turut memaklumkan kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini. Maknanya ini duit rakyatlah.

“Saya hairan, (Ahli Parlimen) Pekan (Datuk Seri Najib Razak) sebagai bekas perdana menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa bahawa hutang 1MDB adalah dijamin oleh kerajaan,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen petang ini.

Menurut Muhyiddin, mungkin apa yang dimaksudkan oleh Najib ialah apabila kerajaan berjaya merampas semula sebahagian wang dan aset 1MDB, maka gunalah untuk membayar balik hutang.

Katanya, antara aset yang berjaya dirampas semula ialah sebuah kapal layar mewah bernilai USD130 juta, sebuah jet peribadi Bombardier bernilai USD35 juta dan aset mewah milik anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Aset itu ialah sebuah townhouse bernilai 23.2 juta pound di London, sebuah rumah mewah bernilai USD17.5 juta di Bevery Hill dan sebuah kondominium mewah bernilai USD35.3 juta di New York.

“Semua aset ini tentunya dibeli bukan bertujuan untuk pelaburan yang menguntungkan 1MDB tetapi sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Najib menggunakan sebahagian wang berjumlah USD4.5 bilion yang dicuri daripada 1MDB.

“Nasib baiklah Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU-14 dan Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri, maka kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan pasukan petugas khas ini untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang berkenaan dan aset 1MDB yang disorok di negara asing,” katanya.

Kata Muhyiddin, beliau difahamkan, setakat ini lebih RM20 bilion wang dan aset 1MDB telah dirampas semula oleh kerajaan terdahulu dan dimasukkan dalam akaun amanah mendapatkan kembali aset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.

“Bayangkan Najib masih Perdana Menteri, saya tidak fikir beliau akan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia,” dakwanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wahhh! ko mendahuli mahkamah nampak? Tu Zeti apa citer musibat? Kalau Najib sebat duit 1MDB apa pasal dia tak kaya2 mcm anak Medey?? Lagi satu aset 1MDB jaa melebihi hutang dia…Bandar Malaysia jaa bernilai berbillion2…tu nak bangunkan bandar Malaysia tu pakai duit bapak kau ke?? Rakyat nak tgk ko cakap mcm ni kat luar parlimen laaa kalau ada telur!

Comments are closed.