Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Penutupan Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 12 FEBRUARI 2020.

SHAH ALAM – Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama pelbagai universiti akan membangunkan Kajian Indeks Hidup Bersama di peringkat nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia bertujuan menilai sejauh mana persepsi masyarakat berkaitan dengan Indeks Hidup Damai Bersama dari segi perseptif sosiologi dan psikologi.

“Kajian ini akan membolehkan kita mengetahui isu-isu keharmonian dan perkauman yang berbangkit di dalam masyarakat dan membuat intervensi penyelesesaian holistik.

“Indeks dan kajian ini akan dibuat di peringkat nasional dan turut disesuaikan di peringkat negara jiran serantau.

“Ini kerana sikap satu rumpun rantau ini mempunyai keunikan dan citra tersendiri,” katanya berucap pada Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di Hotel Grand Blue Waves, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, IDE telah menjalankan kajian pada Disember lalu dan bakal melaksanakannya di peringkat nasional pada pertengahan tahun ini.

“Kajian ini bagi mengenal pasti tahap penerimaan rakyat Malaysia terhadap konsep hidup berdampingan secara aman.

“Ia bagi mewujudkan kesedaran mengenai keperluan untuk hidup berdampingan secara aman serta membangunkan Indeks Ketenteraan Bersama di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette