Sesetengah universiti luar negara tidak lain seperti 'kilang ijazah' yang menawarkan 'kelayakan akademik' kepada pemohon tanpa memerlukan mereka mengikuti apa-apa pengajian.

KUALA LUMPUR – Sesetengah universiti luar negara tidak lain seperti ‘kilang ijazah’ yang menawarkan ‘kelayakan akademik’ kepada pemohon tanpa memerlukan mereka mengikuti apa-apa pengajian.

Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) mendedahkan, pemohon hanya perlu menyediakan maklumat asas dan seterusnya melakukan permohonan melalui Internet bagi mendapat segulung ijazah.

Presiden NAPEI, Elajsolan V. M. Mohan berkata, keadaan itu terutamanya berlaku dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang beroperasi dalam sebuah rumah kedai atau pejabat yang kecil.

“Jika melakukan semakan, anda dapat menghubungi universiti berkenaan, malahan memperoleh maklumat pelajar.

“Masalahnya, universiti seperti ini tidak mendapat pengiktirafan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinchew Daily.

Isu ijazah palsu mencuri perhatian baru-baru ini selepas ada pihak mempertikaikan kesahihan akademik menteri, timbalan menteri, menteri besar dan Exco negeri.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong antaranya mempertikaikan ijazah Exco Perak, Yong Choo Kiong yang memperoleh ijazah daripada Universiti Akamai.

Menurut Ka Siong, Kit Siang sebelum ini pernah melabelkan universiti di Amerika Syarikat itu sebagai institusi diragui.

Mengulas lanjut, Elajsolan berkata, kewujudan dan kesahihan sesebuah universiti kini boleh disemak dengan mudah melalui Internet.

“Selain itu, semakan juga boleh dilakukan melalui kedutaan negara di mana universiti itu berada.

“Namun begitu, selain mengenal pasti kewujudan universiti itu, orang ramai juga perlu mengenal pasti kesahihan ijazah yang ditawarkan ,” katanya.

Beliau berkata, sesetengah institusi yang diragukan juga didapati menggunakan nama yang mirip dengan universiti terkemuka untuk mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, berbanding institusi diragui, masalah yang lebih serius yang berunsur jenayah adalah membabitkan ijazah palsu. – MalaysiaGazette