Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendedahkan telah membuat bantahan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung penggunaan nama Ikatan oleh Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Ketua Pemuda Dewan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, sudah lapan tahun parti itu menggunakan nama Ikatan.

”Perlukah penggunaan nama Ikatan di dalam parti anda? Sedangkan nama Ikatan telah lama diguna pakai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia sejak 2012.

”Sudah hampir 8 tahun nama Ikatan sinonim dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Kenapa perlu nama yang sama? Tidakkah Muda yang diwar-warkan sebagai penggerak anak muda itu tidak kreatif dan menjadi “copycat” serta tiada identiti sendiri?

”Diharapkan Pengasas Muda lebih bertanggungjawab dan tidak semberono dalam membuat keputusan politik. Tukarlah nama parti anda kepada nama lain,” katanya yang mahu Syed Saddique lebih kreatif mencari nama yang sesuai untuk parti mereka.

Shahir berkata, perkataan ‘Alliance’ boleh diubah daripada ‘Ikatan’ kepada ‘Pakatan’ kerana Muda dilihat dibelakangi oleh figura Pakatan Harapan (PH) seperti Tan SriTommy Thomas dan Ambiga yang kini mahu menyaman JPPM.

Sehubungan itu, Shahir menasihatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencari ideologi partinya, kemukakan objektif parti dan apakah yang sebenar-benarnya anda perjuangkan.

“Mungkin dengan itu JPPM akan pertimbangkan kelulusan parti anda. Pentingnya bagi satu-satu organisasi itu mempunyai hala tuju yang jelas bagi mencapai objektif mereka. Kelulusan JPPM bukan hanya untuk mendapatkan akaun bank seperti yang dicanang segelintir ahli Muda.

Shahir turut mendedahkan, parti Ikatan mengambil masa tiga tahun untuk diluluskan oleh JPPM pada 5 Jun 2015.

Menurutnya, parti yang dibentuk oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir itu telah melalui pelbagai dugaan dan cabaran sebelum diluluskan.

Beliau menyifatkan masa yang lama bagi mendapatkan kelulusan pendaftaran bagi sesebuah parti politik bukan sesuatu yang asing.

Oleh itu, katanya, jika ada parti yang mendapat kelulusan kurang dari tiga tahun, itu adalah satu keistimewaan bagi mereka.

”Sudah tentu JPPM perlu menjalankan tugas mereka iaitu memastikan parti yang diluluskan adalah satu-satu parti yang mempunyai
ideologi dan objektif yang ingin dibawa dan diperjuangkan.

“Rasa saya jika ini telah disediakan kepada JPPM sudah tentu JPPM tidak mempunyai masalah untuk meluluskan. – MalaysiaGazette