Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini mendakwa ada unsur rasuah dalam usaha merobohkan Ampang Park di Kuala Lumpur.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya ada bukti ada elemen rasuah dan sudah memanjangkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Unsur rasuah ini, SPRM telah membuka dua kertas siasatan diketuai Datuk Azam Baki berkenaan isu Ampang Park berdasarkan laporan yang kita telah serahkan kepada mereka pada 16 Mac lalu dan beliau berkata ia sedang disiasat.

“Kita percaya ada pihak dalam kawasan Ampang Park terlibat dan individu dalam agensi terlibat untuk merobohkan Ampang Park demi kepentingan individu dan bukan kepentingan rakyat.

“Kita sudah kenalpasti siapa dan kita telah serah kepada SPRM,” kata Ridzuan selepas menyerahkan memorandum kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,  Datuk Dr Salehhuddin Ishak berhubung perkara yang sama.

Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya mahu kementerian terbabit mengkaji semula kebenaran kepada MRT Corp merobohkan pusat beli belah berkenaan bagi projek laluan pejalan kaki stesen Transit Aliran Massa (MRT2) yang menelan belanja sehingga RM2 bilion.

Tambahnya,  tidak logik bagi MRT Corp mendakwa memerlukan hanya 30 peratus kawasan parkir Ampang Park bagi projek mereka namun telah mendapat kebenaran daripada pejabat tanah untuk merobohkan keseluruhan pusat beli belah tersebut.

Ikhlas juga telah mengambil kira pandangan seramai 139 pemilik premis dalam Ampang Park dan ternyata majoriti mereka tidak bersetuju pusat beli belah terawal di ibu kota itu dirobohkan.

Menurut Ridzuan, memorandum berkenaan juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama lima cadangan daripada Ikhlas untuk dipertimbangkan pihak kerajaan.

“Kita yakin PM akan terima memorandum dan cadangan yang kita berikan kerana kita tahu PM lebih mengutamakan rakyat,” katanya lagi.

Menurutnya, PRU-14 tidak lama lagi dan pihaknya tidak mahu disebabkan isu itu pembangkang mengambil kesempatan dan akhirnya Barisan Nasional akan kehilangan semua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

,000 tandatangan daripada pengundi di kawasan Ampang Park bagi tujuan membantah usaha merobohkan bangunan berkenaan. – Malaysia Gazette.