PUTRAJAYA – Ikon 1Malaysia Negaraku telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Taklimat Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perasmian atau pelancaran ikon ini disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Jemaah Menteri.

Bagi tujuan penjenamaan semula ikon baharu itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan kolaborasi daripada Tan Sri Dr. Lim Kok Wing telah menghasilkan satu reka bentuk ikon yang menarik dengan menggabungkan ikon “1Malaysia” dan “Negaraku” sedia ada.

Di mana angka “1” pada ikon “1Malaysia” dililit dengan bendera Jalur Gemilang yang tertera perkataan “Negaraku” di bawahnya.

Ikon 1Malaysia baharu direka bersama Jalur Gemilang dan perkataan Negaraku dalam satu ikon yang menggambarkan mesej jelas dengan sentuhan peribadi.

Imej yang dipaparkan melambangkan perpaduan negara dan ikon ini juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menunjukkan taat setia atas dasar cintakan perpaduan yang harmoni seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-60 pada 31 Ogos ini.

Ikon ini juga direka dan menjadi lambang untuk rakyat Malaysia dalam aspirasi mencapai kemajuan sempena 60 tahun kemerdekaan negara yang terus diingati atas dasar perpaduan nasional.

Ikon 1Malaysia Negaraku melambangkan simbol kekuatan negara ke arah perpaduan dan usaha tranformasi pembangunan ekonomi sepenuhnya.

Selain itu, ia telah menjadi sebahagian daripada legasi kebangsaan dan simbol kepada dasar pentadbiran Perdana Menteri.

Ikon 1Malaysia Negaraku adalah lambang kepada perkongsian nilai utama dan adat serta budaya ke arah kekuatan kepelbagaian rakyat Malaysia berlandaskan sejarah serta persamaan bersama.

Ia akan mewujudkan perpaduan dalam kepelbagaian yang unik bagi Malaysia.

Inisiatif 1Malaysia telah diterima sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dan telah menjadi simbol paling dikenali di seluruh negara.

Pada dasarnya, ia telah menjadi sebahagian daripada warisan kebangsaan yang dimeterai oleh Perdana Menteri sebagai faktor penyatuan dan perpaduan yang diterim rakyat.

Perdana Menteri akan melancarkan kempen 1Malaysia Negaraku bagi memberi semangat kepada rakyat untuk mengukuhkan kesetiaan dan komitmen terhadap prinsip berteraskan keterangkuman, kesatuan dan kebersamaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Kebangsaan 2017.

Ikon 1Malaysia Negaraku adalah hak cipta terpelihara KKMM serta boleh dimuat naik di laman sesawang kementerian itu, www.kkmm.gov.my. – MalaysiaGazette