Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Aura Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tidak lagi seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, propaganda yang dilakukan oleh Rafizi agar Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-15 tidak lagi berkesan.

“Sebenarnya Rafizi dan PH sudah takut bila taktik dan serangan politik mereka ke atas UMNO/BN tak meninggalkan kesan di hati rakyat sebab rakyat sudah kenal sikap penipu dan kaki kencing Rafizi dan konco-konconya.

“Dia tahu rakyat tak akan terpedaya lagi dengan cerita fitnah dan janji-janji manis PH. Dia tahu rakyat akan tukar PH kembali jadi pembangkang sejati selepas PRU-15 nanti,” kata Nur Jazlan.

Beliau berkata, Rafizi kini cuba menyerang pemimpin UMNO menggunakan isu kapal tempur persisir (LSC).

Timbalan Presiden PKR itu didakwa cuba mewujudkan persepsi kepada rakyat bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah melakukan salah guna kuasa dalam isu itu.

Bagaimanapun serangan Rafizi tidak berjaya kerana rakyat sudah tahu taktik yang digunakan oleh beliau.

“Korek punya korek, isu LCS tak kaitan pun dengan pemimpin-pemimpin UMNO itu tapi terpercik kepada pemimpin Bersatu, si Dr Latiff tu.

“Lepas dah kantoi, tak ada pula Rafizi nak betulkan keadaan atau tarik balik tuduhan-tuduhan dia ke atas pemimpin-pemimpin UMNO.

“Umpama Panglima Gebu nak panah Harimau UMNO tapi terkena kepada si katak Bersatu. Maknanya ilmu bidikan Rafizi sudah tawar, tak lagi boleh dijadikan senjata utama bila berperang,” kata Nur Jazlan.

Selepas gagal menggunakan isu LCS Rafizi kini cuba mengelirukan rakyat dengan isu tender perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Kementerian Pertahanan sahkan tender perolehan SPH untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum diserahkan kepada mana-mana syarikat.

“Sebaliknya tender untuk projek membabitkan peruntukan RM854 juta itu masih lagi berjalan. Kantoi lagi. Tapi itulah perangai Rafizi dari dulu lagi. Suka tebar jala politik, tambah pula bila dekat PRU.

“Dia tak kisah pun jala politik yang ditebarkan itu kena atau tak, yang penting dia berjaya timbulkan persepsi dan memburukkan imej lawan politiknya,” kata Nur Jazlan.

Menurut beliau, Rafiz hanya timbul apabila pilihan raya umum akan berlangsung sedangkan pemimpin PKR itu menghilangkan diri selepas PRU-14.-MalaysiaGazette