Datuk Seri Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyelaraskan semula hampir 136,000 pemegang pelbagai kad Pendaftaran Warga Asing di Sabah seperti HIF22, Kad Burung-burung, Sijil Banci dan IMM13.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata,  dengan penyelarasan ini, IMM13 bakal menjadi dokumen pengenalan tunggal kepada warga asing dari Filipina di Sabah secara berperingkat.

“Walaubagaimana pun, penyelarasan ini TIDAK melibatkan pengeluaran IMM13 yang baru dan TIDAK melibatkan mereka yang TIADA sebarang rekod dengan pihak berkuasa,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

Pas IMM 13 merupakan pas lawatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia mengikut peruntukan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Pemegang IMM 13 dibenarkan tinggal di negeri Sabah dan Labuan mengikut tempoh yang dinyatakan dalam pas yang mana  pemegang pas ini boleh bekerja di negeri Sabah dan Labuan tanpa perlu memohon pas kerja (tetapi bukan untuk bekerja dalam sektor profesional dan perkhidmatan awam).

Mereka juga berhak untuk menerima pendidikan dan perkhidmatan kesihatan mengikut budi bicara pihak-pihak yang berkenaan.

Kad  HIF22 pada asalnya dikeluarkan kepada pelarian oleh Jabatan Imigresen bagi membantu pemantauan kumpulan pelarian.

Selain itu, kad Burung-Burung dan sijil banci masing-masing dikeluarkan kepada pendatang asing pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Sabah (Berjaya) dan pasukan petugas khas persekutuan.

Sementara itu, Hamzah yang melakukan lawatan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri  di Sabah hari ini berkata, pihaknya akan memastikan kedaulatan dan keselamatan negara akan sentiasa kita pertahankan. – MalaysiaGazette