S. Puvanesvary.

KUALA LUMPUR – Industri logistik mahu kerajaan campur tangan membantu sektor berkenaan yang menerima tempias ekoran pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Presiden Persatuan Usahawan Logistik Semenanjung Malaysia (PULSE), S. Puvanesvary memberitahu, peningkatan kos bekalan seperti alat ganti automotif kira-kira 20 hingga 30 peratus yang memberi kesan langsung kepada kos penghantaran.

Ia mengakibatkan industri penghantaran barang itu ‘merana’ sampai sekarang.

Berikutan itu, beliau berkata, ramai antara pengusaha dan pengendali perniagaan logistik kecil dan sederhana memilih untuk meninggalkan perusahaan itu atas sebab tidak mampu atau terjerat dengan masalah kewangan.

“Seperti industri-industri lain, industri logistik juga adalah tulang belakang bagi ekosistem rantaian bekalan Malaysia.

“Justeru, kami berharap kerajaan dapat campur tangan dalam kenaikan kos logistik untuk melihat bagaimana mereka (kerajaan) dapat membantu syarikat-syarikat logistik untuk terus kekal bersaing dalam pasaran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Puvanesvary memberitahu, dalam usaha menarik minat orang ramai untuk menyertai industri itu, PULSE berhasrat menganjurkan latihan dalam pelbagai bidang termasuk operasi, kewangan, pengurusan dan sebagainya yang menepati kehendak industri logistik.

“PULSE juga mahu memperkasa kerjaya pemandu lori sebagai satu profesion yang mempunyai prospek untuk berkembang. Kami mahu pemandu diberi peluang pembangunan kerjaya agar mereka boleh dinaikkan pangkat seperti penyelia dan pengurus atau diserap ke bahagian lain seperti mekanik, juruteknik dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Puvanesvary memberitahu, PULSE menganjurkan satu sesi dialog bersama wakil agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Puspakom, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia Industrial Development Fund (MIDF), SME CORP, Jabatan Kastam Diraja dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Midlands Convention Centre, Shah Alam esok.

Sesi dialog itu, katanya, akan membincangkan hal-ehwal berkaitan isu dan cabaran pemain industri logistik khususnya dari peengusaha kecil dan sederhana pada fasa pasca pandemik.

Sebagai negara perdagangan ke-24 terbesar di dunia pada 2021, sektor logistik berperanan penting untuk membolehkan pertumbuhan rantaian bekalan Malaysia dan dengan kebangkitan e-dagang, syarikat memanfaatkan trend yang semakin pesat berkembang ini.

Kementerian Pengangkutan menyusun Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 untuk menambah baik kesalinghubungan logistik bagi menampung ledakan e-dagang, rancangan naik taraf dan peluasan pelabuhan secara berterusan serta peningkatan produktiviti dan daya saing. – MalaysiaGazette