Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM Kota Samarahan, Sarawak yang menjadi lokasi insiden tembakan membabitkan empat askar TUDM pada bulan Ogos 2021.

KUALA LUMPUR – Insiden tembakan yang mengorbankan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kem Skuadron 330 Kota Samarahan, Kuching Ogos lalu, masih dalam siasatan polis.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, siasatan itu bagi mengenal sekiranya wujud elemen jenayah, selain mengesahkan punca sebenar insiden.

Katanya, siasatan juga turut mencakupi hal-hal berkaitan aspek pentadbiran, SOP, isu kebajikan dan sebagainya.

Menurut beliau, pada 13 Ogos lalu, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad telah bertemu dengan ahli keluarga anggota yang meninggal dunia di Pangkalan Udara Kuching, Sarawak.

“Dalam pertemuan itu, Panglima TUDM menyampaikan sumbangan awal kematian yang melibatkan belanja pengebumian, sumbangan kematian dari Tabung Kebajikan TUDM serta sumbangan derma tanggungan dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, pihak Markas ATM Bahagian Perkhidmatan Anggota Jabatan Arah Rekod dan Pencen telah selesai memproses dokumentasi pencen terbitan, ganjaran terbitan dan faedah gantian cuti rehat melalui tindakan tanggungan orang keempat-empat anggota TUDM berkenaan.

“Pembayaran kepada semua orang tanggungan ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pada hujung September lalu,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (PBB-Kota Samarahan) yang meminta menteri menyatakan apakah pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam Insiden tembakan di Pondok Pengawal Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan pada 13 Ogos lalu.

Kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu dikatakan berlaku ketika masa serah tugas apabila salah seorang anggota TUDM bertindak menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, dua anggota TUDM maut serta-merta di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah.

Mengenai soalan, apakah tindakan kerajaan memastikan tahap kesihatan mental di kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik sekiranya itulah punca insiden, Ikmal Hisham menjelaskan, TUDM mempunyai mekanisme dalam hal itu.

Katanya, dalam memastikan tahap kesihatan mental yang baik di kalangan anggota TUDM, Kementerian Pertahanan mempunyai mekanisme memantau tahap kesihatan mental anggota supaya berada dalam keadaan baik dan terkawal.

“Mekanisme sedia ada yang dilaksanakan ialah dengan memberi perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada anggota dan keluarga.

“Perkhidmatan ini adalah dengan keperluan ATM dan kementerian untuk memantau, mencegah, memberi nasihat dan kaunseling atas segala isu yang membabitkan masalah tekanan kesihatan mental tempat kerja,” katanya.

Beliau mengakui insiden tembakan itu memberi kesan trauma kepada anggota di pasukan berkenaan dan tindakan susulan dilakukan TUDM ialah dengan menghantar team kaunseling dan psikologi untuk menenangkan mereka dan keadaan.

Mengenai SOP pengambilan dan penggunaan senjata api, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen PPBM Tanah Merah berkata, prosedurnya cukup ketat yang ditekan bawah SOP ATM.

Kata beliau, insiden itu sebenarnya melibatkan anggota pertahanan darat TUDM (Handau) yang berfungsi sebagai Polis Tentera dalam perkhidmatan TUDM.

“Sudah pastinya anggota Handau ini tugasannya mengawal keselamatan pangkalan dengan menggunakan senjata api.

“Namun, insiden itu adalah kes terpencil, di mana dalam situasi latihan atau urusan melibatkan senjata api, ianya tidak boleh diambil atau digunakan sewenang wenangnya. – MalaysiaGazette