Antonio Conte.

ITALI – Antonio Conte secara rasmi berpisah dengan Inter Milan selepas kelab itu mencapai kesepakatan bersama berhubung penamatan kontrak.

Juara Serie A musim ini telah bersetuju membayar pampasan €7 juta kepada Conte untuk baki kontraknya.

Pengumuman rasmi tentang perkara itu dibuat oleh Inter menerusi satu kenyataan media.

Inter dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Antonio atas kerja luar biasa yang telah dilakukannya di mana kemuncaknya adalah pencapaian Scudetto kesembilan belas.

“Antonio Conte akan kekal selamanya dalam sejarah kelab kita,” katanya kenyataan itu.

Conte sebelum ini dilaporkan tidak sehaluan dengan Presiden kelab, Steven Zhang yang bukan kali pertama kedua-duanya berdepan masalah komunikasi.

Sebelum ini Conte pernah mengancam akan meletakkan jawatan jika presiden kelab terus sukar dihubungi.

Ketika itu Zhang berada di China dan amat jarang berada di Itali.

Konflik kali ini berlaku apabila Zhang dilaporkan mahu Conte menjual beberapa pemain bintang untuk meraih dana sekitar €80 juta keseluruhannya.

Ini untuk membantu membayar hutang yang harus mereka langsaikan segera dalam masa terdekat yang bernilai €100 juta.

Keadaan itu membuatkan Conte merasakan bahawa ianya mustahil untuk dia melakukan tugasan tersebut. – MalaysiaGazette