Ariz Ramli atau lebih dikenali dengan Caprice.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice berjaya dihubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

Selepas ini keterangan berkaitan siasatan kes fitnah yang dikaitkan dengan pendakwah, Ebit Lew akan dirakam daripada Caprice dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi berkata, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli itu baru sahaja menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan setelah mendapat kerjasama pihak Interpol.

“Jadi, selepas ini kita akan merekod keterangannya daripada Caprice dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tunggu kelulusan Interpol rakam percakapan Caprice, Nadir


Sangkal segala dakwaan, Ebit Lew buat penjelasan esok 

Semalam, Ashari mengesahkan pihaknya telah memohon bantuan Interpol untuk mengesan kedudukan Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat pendakwah Ebit Lew ke atas kedua-dua individu itu.

Katanya, permohonan kerjasama Interpol untuk mengesan kedua-dua individu itu dikemukakan menerusi e-mel bertarikh 16 Ogos 2021.

Polis dijangka akan merakam percakapannya menerusi dalam talian memandang kedua-dua individu berkenaan berada di luar negara.

Ebit membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadapnya menerusi laman sosial dipercayai turut berkait misi bantuan kemanusiaannya ke Palestin, baru-baru ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500/504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-MalaysiaGazette