SEOUL – Harga minyak dunia meningkat dalam dagangan hari ini disokong oleh penyusutan inventori bahan api di Amerika Syarikat, selain jangkaan penurunan berterusan ekoran sekatan minyak Iran mulai November ini.

Niaga hadapan minyak didagangkan pada AS$72.80 setong pada 0109 GMT, naik AS$0.18 atau 0.25 peratus berbanding harga penutup.

Manakala minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate naik AS$0.26 kepada AS$66.10 setong.

Inventori minyak mentah Amerika Syarikat susut sebanyak 5.2 juta tong bagi minggu berakhir pada 17 Ogos kepada 405.6 juta tong, lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 1.5 juta tong.

“Para pelabur juga yakin inventori rasmi Ameerika Syarikat akan menurun minggu ini,” menurut nota penyelidikan Bank ANZ.

Kebimbangan pasaran berapa jumlah minyak akan dikeluarkan dalam pasaran global ekoran sekatan yang dikenakan terhadap Iran, selain kekhuatiran kelembapan permintaan di tengah-tengah pertikaian perdagangan antara dua kuasa besar dunia Amerika Syarikat-China. – MalaysiaGazette