Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong bercakap pada sidang media selepas sesi taklimat dengan Bar, CSOs and MPs berkaitan Suruhanjaya IPCMC di Bilik Mesyuarat Tingkat 10 Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Terdapat cadangan supaya kuasa perdana menteri dalam Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) dikurangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, cadangan itu disuarakan oleh beberapa pihak yang mahu memastikan suruhanjaya tersebut bebas daripada campur tangan politik.

Cadangan tersebut, ktanya, melibatkan pengurangan kuasa perdana menteri dalam konteks melantik dan penetapan gaji.

“Ada yang mahu RUU ini diubah berkaitan beberapa perkara termasuklah kuasa Perdana Menteri,” katanya selepas sesi taklimat  IPCMC bersama pelbagai pihak wakil ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang di sini. 

Turut hadir wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia.

Mengulas lanjut Vui Keong berkata, daripada 60 klausa RUU yang telah dibentangkan buat pertama kali itu, hanya lima hingga 10 peratus sahaja dicadang dipinda dan perkara itu akan dibawa ke Kabinet sebelum dimuktamadkan. 

“Apa yang dicadangkan hari ini saya akan bawa ke Kabinet terlebih dahulu, dan harap lepas ini akan ada lagi sesi taklimat dengan pihak polis selain pertubuhan masyarakat,” katanya.

Dijangkakan bacaan kali kedua RUU IPCMC akan berlangsung sebelum pembentangan Bajet 2020 Oktober nanti dalam sidang Dewan Rakyat.

Untuk rekod RUU IPCMC itu telah dibacakan buat kali pertama pada 18 Julai yang lalu.

Penubuhan IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).-MalaysiaGazette