Menteri Pengangkutan, Yb Anthony Loke (dua kiri) bergambar kenangan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tiga kiri) serta yang lain pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh di Stesen Kereta Api Ipoh, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2019

IPOH – Kementerian Pengangkutan menerusi agensinya, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak akan mewujudkan pembangunan bersepadu berasaskan transit di dalam Stesen Keretapi Ipoh.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh akan melibatkan kawasan seluas 68 ekar yang bakal dibangunkan secara bersepadu dan berintegrasi dengan hab pengangkutan.

“Pelancaran Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh merupakan rentetan daripada pelaksanaan Memorandum Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani di antara RAC dengan Perbadanan Menteri Besar (MB Incorp) pada 5 Julai 2019.

“Saya amat berbangga apabila kedua-dua pihak iaitu RAC dan MB Incorp berjaya mencapai kata sepakat sehingga Pelan Pembangunan Bersepadu ini berjaya diwujudkan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS2) & Pembangunan Bersepadu Keretapi Ipoh, di sini, hari ini.

Loke juga berkata, pembangunan stesen keretapi integrasi itu merupakan pelan jangka masa panjang dan memakan masa sehingga 15 tahun.

“Ini pembangunan jangka panjang yang akan mengambil masa dalam 10 hingga 15 tahun untuk direalisasikan sepenuhnya.

“Tetapi saya telah berbincang dengan Menteri Besar Perak, memang kita nak melihat pembangunan projek ini dapat kita percepatkan.

“Kita akan percepatkan dan sudah tentunya memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri dan PBT untuk meluluskan kebenaran merancang dan seterusnya projek ini dapat dibangunkan,” katanya.

Katanya, pembangunan semula Stesen Keretapi Ipoh itu dijangka menelan belanja sehingga RM6 bilion.

“Ia pembangunan bercampur, berorientasikan transit ataupun DOD yang ada unsur komersial, perumahan dan paling penting perumahan mampu milik untuk rakyat dan juga hab pengangkutan.

“Yang penting kita nak jadikan stesen keretapi Ipoh ini sebagai satu hab untuk Perak dan Ipoh

“Ia akan ada hubung kait dengan semua bagi seluruh negeri Perak apabila stesen keretapi ini dapat dibangunkan, maka ia akan jadi satu pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

Beliau turut membayangkan sepanjang laluan perkhidmatan ETS itu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai hab pengangkutan berintegrasi.

“Memang kita terbuka kepada pelbagai potensi, kita lihat dari Johor sampai Perlis semua ada, di sepanjang laluan KTM, semua ada potensi

“Di Pantai Timur pula nanti ada ECRL akan ada potensi seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette