Artis dan Aktivis Politik, Bob Lokman

KUALA LUMPUR – Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dengan kerjasama beberapa artis menganjurkan Tabung Bantuan Bob Lokman baru-baru ini.

Presidennya, Ayob Abd Majid berkata, pihaknya mengadakan tabung berkenaan sejak 4 Disember lalu bagi meringankan beban penulis lirik terkenal itu bagi membiayai kos rawatan bagi sakit jantungnya.

“Sejak terdengar berita musibah yang melanda Bob yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan pembedahan jantungnya, IRAMA dengan persetujuan Bob, terus memulakan kempen Tabung Bantuan Bob Lokman bagi mengutip derma,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Ayob, penyanyi, Datuk Hattan merupakan artis yang memulakan program Tabung Bantuan Bob Lokma.

Hattan, katanya, menjemput peminat muzik tempatan yang ingin membuat sumbangan berkolaborasi bersama stesen radio online, Bapakku FM yang dimiliki dan diuruskan oleh Isma Halil.

Selain itu, penyanyi, Aris Ariwatan juga turut turun ke padang bagi membantu program yang sama dengan menghiburkan pendengar menerusi Bapakku FM.

Selain Hattan dan Aris, antara yang telah turun membantu membantu persembahan live streaming adalah Datin Ramziela, Amir UK dan ramai lagi.

Pemuzik dan penyanyi busker yang popular iaitu Bob Sentuhan turut terpanggil bagi membantu.

Program bantuan yang sama akan dilancarkan secara rasmi pada 20 Disember ini di mana Menteri Komunikasi dan Mutimedia, Datuk Saifuddin Abdullah akan hadir bersama komposer terkenal, Datuk M. Nasir menerusi siaran Bapakku FM pukul 9 malam.

Menurut Ayob, pada 26 Disember ini pula IRAMA akan berkampung bersama artis-artis anak Johor di Warisan@7 JB beralamat di Jalan Petri, Kampung Tarum, Johor Baru membantu Bob Lokman menerusi kutipan tabung yang sama.

Seterusnya, katanya, Program Tabung Bantuan Bob Lokman dijangka akan membuat majlis penutup di Kelantan pada pada 29 Januari 2021 di DCZ Seaview Kota Bharu.

Ia merupakan acara usahasama antara IRAMA dan EHFC Eddie Hamid Fans Club.- MalaysiaGazette