Hari kedua persekolahan bagi murid Sekolah Kebangsaan Mentakab (Chatin) di sini lebih ceria apabila watak adiwira komik Avengers, Iron Man hadir menyambut kehadiran mereka hari ini.
Hari kedua persekolahan bagi murid Sekolah Kebangsaan Mentakab (Chatin) di sini lebih ceria apabila watak adiwira komik Avengers, Iron Man hadir menyambut kehadiran mereka hari ini.

TEMERLOH – Hari kedua persekolahan bagi murid Sekolah Kebangsaan Mentakab (Chatin) di sini lebih ceria apabila watak adiwira komik Avengers, Iron Man hadir menyambut kehadiran mereka hari ini.

Ramai murid yang khasnya murid tahun satu dan pra sekolah yang pada mulanya kelihatan sugul, terus ceria dan memanggil-manggil nama Iron Man serta tidak melepaskan peluang bersalam dan bergambar.

Guru Besar, Suhaime Nahari berkata, kejutan yang dilaksanakan di bawah program guru penyayang ini memberi impak yang sangat berkesan untuk murid-murid tahun satu yang takut untuk sekolah.

“Kita ambil inisiatif ini agar mereka rasa bermotivasi dan bersemangat untuk ke sekolah. Tiada yang menangis atau muram kerana perlu bangun awal pagi untuk memulakan persekolahan.

“Permulaan ini juga dapat membuatkan murid rasa seronok dan menjadikan sekolah sebagai rumah kedua mereka setiap hari. Mereka akan gembira belajar dan berjumpa kawan-kawan baru,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Dalam pada itu katanya, inisiatif yang dilakukan selari dengan usaha merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menerapkan nilai murni di kalangan guru pelajar dan PIBG.

“Kita mahu sesi persekolahan berlangsung dengan lancar malah hubungan guru, murid dan ibu bapa berlangsung dengan baik dan harmoni.

Turut sama menyambut kehadiran murid adalah Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh , Wan Abdul Hamid Wan Mohamed anggota jawatankuasa PIBG dan guru-guru serta ibu bapa.

Sekolah berkenaan mempunyai seramai 53 orang murid tahun satu dan 50 orang murid prasekolah dan seramai 295 murid lain dari tahun dua hingga enam.

Sementara itu orang yang memakai kostum adiwira berkenaan Mohd Faizal Muda, 35, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Unit Pendidikan Pesakit Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh berkata, kehadirannya di sekolah setiap kali sesi awal persekolahan sudah menjadi rutin setiap tahun.

“Rasa seronok apabila dapat lihat riak wajah gembira murid-murid bila nampak watak adiwira mereka. Murid-murid tahun satu khasnya bertambah semangat untuk datang ke sekolah,” katanya.

— BERNAMA