ketua pembangkang Lim Kit Siang rasuah PRN
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang tidak akan sesekali menerima sebarang permohonan maaf daripada Tan Sri Annuar Musa dalam dakwaan isu tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Sebaliknya bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sudah mengarahkan peguamnya untuk membuat tuntutan pampasan kepada bekas pemimpin UMNO itu kerana didakwa memfitnah.

“Saya sudah mengarahkan peguam saya tidak akan menerima sebarang permohonan maaf Annuar dan menegaskan tuntutan pampasan kerana memfitnah saya,” katanya dalam blog beliau hari ini. 

Ini juga merupakan susulan daripada gesaan Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) yang mencabar Kit Siang segera mengambil tindakan saman terhadapnya.

Ahli Pas itu berkata, walaupun Kit Siang mahu mengambil tindakan tersebut namun beliau akan mengulangi dakwaan tersebut sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN).

Annuar dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut ketika berceramah di Bachok, Kelantan apabila mengaitkan Kit Siang dengan insiden 13 Mei 1969 sewaktu pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun yang sama. – MalaysiaGazette