Adam Adli Abdul Halim

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR, Adam Adli Abdul Halim telah mengisytiharkan hartanya dengan aset berjumlah RM28,533.79 sebagai syarat ditetapkan partinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Hang Tuah Jaya memuat naik dokumen itu di laman web parti tersebut.

Menerusi dokumen itu, Adam memiliki wang tunai di dua bank masing-masing sebanyak RM1,769.72 dan RM8.73.

Beliau juga mempunyai caruman berjumlah RM13,643.87 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), setakat 30 September 2022.

Bagi pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pula, Adam hanya memiliki RM111.47, setakat 30 September 2022.

Beliau turut memiliki sebuah Perodua Kelisa dengan nilai pasaran semasa RM13,000 dan baki hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM9,655.16.

Menerusi perkongsian yang sama, Adam Adli mempunyai pendapatan bulanan berjumlah RM3,000.

Beliau yang sudah berkahwin dan memiliki dua orang cahaya mata mengakui memiliki komitmen bulanan sebanyak RM2,440 termasuk perbelanjaan sewa kediaman, bil utiliti, yuran pusat asuhan anak, insurans hayat dan langganan Nexflit. – MalaysiaGazette