Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Penyerang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut akhirnya menamatkan teka-teku apabila pemain itu sah menyambung kontrak bersama skuad itu pada musim depan.

Menerusi kenyataan rasmi media skuad Penyu itu, Mamut yang meledak 22 gol dalam 32 penampilannya bersama skuad itu bersetuju untuk menyambung kontrak setahun lagi.

“Penyerang utama pasukan, Mamut secara rasmi menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama pasukan TFC dalam mengharungi saingan Liga M pada musim depan.

“Dengan pengumuman ini, desas-desus yang mengaitkannya berhijrah bersama pasukan negeri lain pada musim depan akhirnya terlerai selepas dia bersetuju untuk menyambung kontrak setahun lagi bersama TFC.

“Apa yang kita harapkan agar dia dapat membantu pasukan untuk lebih cemerlang pada musim depan berbanding muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun ini,” menurut kenyataan rasmi media skuad itu.

Sementara itu Mamut meluahkan rasa gembira kerana khidmatnya masih diperlukan skuad Penyu biarpun baru pertama kali membuat penampilan dalam kancah Liga M.

Jelasnya, sokongan padu daripada pihak pengurusan TFC, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan peminat sepanjang musim ini telah meningkatkan lagi motivasinya membantu skuad Penyu.

“Terima kasih kepada semua atas sokongan padu musim ini, anda berjaya meningkatkan lagi motivasi saya untuk memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan sehingga berjaya membawa pasukan mara ke pentas final Piala Malaysia.

“Kepercayaan yang diberikan ini akan saya buktikan dengan penampilan lebih cemerlang untuk musim kedua bersama TFC lebih-lebih lagi saya sudah serasi dengan rakan sepasukan selain corak latihan jurulatih,” kata Mamut.

Pada awal musim, bekas pemain kelab FCSB dalam Liga Romania itu bergelut untuk menjaringkan gol sehingga kerap dikritik peminat sendiri berikutan prestasinya yang tidak konsisten. – MalaysiaGazette