Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menganjurkan Program Outreach Rakan Setia Komuniti Pengkalan Chepa, Kelantan mulai esok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, program tiga hari berakhir 11 Oktober ini turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) dan Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM).

Menurut beliau, program yang julung kali dianjurkan itu akan disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Katanya, penganjuran program itu bertepatan dengan manifestasi Pelan Strategik Jakim 2019-2025 Teras Strategik 4 iaitu memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam secara inklusif bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak.

“Selaras prinsip Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sekali gus memenuhi inisiatif mantap Menteri di bawah PIAGAM C-19 Inisiatif 3 iaitu Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam.

“Pentadbiran mesra berasaskan Maqasid Syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan teras dalam usaha kerajaan menyediakan keselesaan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, memberikan kemudahan tanpa mengetepikan kelompok minoriti dan berinteraksi dengan semua pihak.

“Oleh itu, usaha melebar risalah menyantuni ummah ini tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu sahaja, bahkan perlu meliputi pelbagai lapisan golongan dan komuniti Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Abdul Aziz berkata, Jakim melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah mengadakan Program Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) dadah sejak 2011 lagi, di mana pengisian program itu menitikberatkan pengisian dan pendekatan kerohanian yang dilaksanakan secara interaktif dan aktiviti berkumpulan.

Sehingga kini, kata beliau, dianggarkan lebih 7,000 peserta telah mengikuti program tersebut.

“Kerana kita masih dalam fasa Pelan Pemulihan Negara daripada pandemik Covid-19, program sedia ada telah diubahsuai mengikut ketetapan norma baru dengan mengambil pendekatan outreach iaitu menziarahi sambil menyantuni klien.

“Namun, pendekatan sama digunakan dengan penghayatan agama terus diutamakan melalui sesi kaunseling, khidmat nasihat dan bimbingan melalui kaedah Psikospiritual Islam dan disusuli dengan sumbangan.

“Program akan dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil, iaitu setiap kumpulan akan dianggotai pegawai dari Jakim, AADK, JAHEIK, PEMADAM dan YIM yang akan turun menyantuni sebanyak 30 keluarga klien,” katanya.

Beliau berkata, objektif program itu untuk memberi penerangan, kefahaman, penghayatan serta merungkai permasalahan semasa berkaitan isu keagamaan, kekeluargaan, masa depan dan hala tuju hidup mereka.

Seterusnya, memupuk semangat kerjasama, toleransi dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam melahirkan idea yang bernas bagi memupuk generasi yang inovatif lagi beriman.

Selain itu, Jakim ingin mendapatkan maklumbalas bantuan rawatan dan pemulihan berterusan yang diperlukan oleh klien bagi mengeluarkan mereka dari cengkaman najis dadah.

“Kita yakin gabungan Ilaj wa Shifa’ antara perubatan Sains moden dan Islam amatlah bersesuaian bagi membimbing, merawat dan memulihkan jiwa golongan klien ini.

“Justeru, komuniti ini adalah golongan yang perlu diberi perhatian dan bimbingan daripada semua pihak bagi membina semula kehidupan agar mereka dapat pulih sepenuhnya serta mengembalikan keyakinan diri dalam masyarakat. – MalaysiaGazette