Home Utama Jamal, 7 individu bebas dengan jaminan polis

Jamal, 7 individu bebas dengan jaminan polis

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos memecahkan berkotak-kotak minuman keras di sebagai tanda bantahan Pesta Arak 2017 pintu pagar pekarangan Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh lagi individu yang direman sejak Jumaat lepas dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan.

Jamal, pemandu, pengawal peribadinya serta lima yang lain ditahan polis di Sekinchan, Sabak Bernam selepas mereka bertindak memecahkan botol arak di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) pada Khamis lalu.

Semua mereka ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi pada Khamis lalu, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Selangor dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan ahli-ahli gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.

Jamal kemudian bertindak memecahkan kesemua botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK). – MalaysiaGazette