Azizi Safar

PULAU PINANG – Mahu bina terowong dasar laut atau jambatan ketiga?

Itu persoalan yang diajukan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas didakwa berdolak-dalik dalam isu pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan.

Penganalisis politik, Azizi Safar berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP harus membuat keputusan segera sama ada mahu membina jambatan ketiga yang kos pembinaannya lebih rendah atau meneruskan cadangan asal membina terowong bawah dasar laut.

Katanya, jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang serius mahu membina jambatan ketiga dan menjadikannya laluan bebas tol, mereka seharusnya menghantar segala dokumentasi yang menyokong cadangan itu.

Ini katanya, termasuk kajian kebolehlaksanaan projek itu yang kononnya sudah 83 peratus siap kepada Kementerian Kerja Raya untuk pertimbangan.

“Sekiranya kerajaan negeri gagal mengemukakan segala dokumentasi yang diperlukan dan kajian kebolehlaksanaan jambatan yang dicadangkan itu, maka kesalahan atau kegagalan adalah jelas di pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azizi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Kepala Batas turut mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuktamadkan lokasi yang menghubungkan jambatan ketiga tersebut di bahagian Seberang Perai.

Menurutnya, sekiranya lokasi itu terletak di pesisir Bagan Ajam yang dirancang untuk ditambak, penduduk di sekitar kawasan tersebut khususnya penghuni flat kos rendah Taman Tun Dr. Awang bakal menerima kesan buruk.

“Ini adalah sebahagian isu-isu yang perlu ditangani terlebih dahulu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum mencadangkan jambatan ketiga atau hubungan keempat antara Seberang Perai dan bahagian pulau,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof melahirkan kebimbangan mengenai cadangan projek projek terowong dasar laut atau jambatan ketiga itu memandangkan tidak menerima maklumat terkini berhubung kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Fadillah berkata, pada Mei 2016, kerajaan Pulau Pinang menghantar surat kepada pihaknya meminta kelulusan bagi jambatan ketiga tanpa mengemukakan apa-apa dokumen sokongan.

Sehubungan itu, beliau menawarkan bantuan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung cadangan tersebut sekiranya memerlukan.

Dalam reaksi balas pula, Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam menyambut baik tawaran itu dan berkata, beliau akan bertemu Fadillah untuk membincangkan cadangan projek berkenaan. – MalaysiaGazette