Sebahagian daripada 74 penduduk Kampung Kemensah mengadakan pertemuan membincangkan masa depan mereka.

KUALA LUMPUR  – Penduduk Kampung Kemensah, dekat sini, meminta Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) memberi kelonggaran kepada mereka untuk mengusahakan tanah berhampiran dengan aktiviti pertanian.

Mereka mendakwa telah mengusahakan tanah berkenaan sejak 30 tahun lalu, walaupun menyedari ia adalah Tanah Rizab Melayu yang telah ditukar status kepada Hutan Simpan.

Menurut Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Kampung Kemensah, Mohd Zaharuddin Ismail, selepas diubah status, tanah itu diletakkan bawah pengawasan JPNS.

Bagaimanapun, baru-baru ini dua penduduk kampung itu telah ditahan penguatkuasa JPNS atas kesalahan menceroboh dan direman selama tiga hari.

“Berikutan kejadian itu, seramai 74 penduduk yang mengusahakan tanah berkenaan berada dalam keresahan dan berharap JPNS dapat mempertimbangkan permohonan mereka untuk terus mengusahakan tanah itu dengan pertanian.

“Ketika ditahan, dua penduduk itu sedang melakukan kerja memesin rumput,” katanya kepada media, hari ini.

Kata Mohd Zaharuddin, pihaknya telah menghantar empat kali permohonan sejak 2014 kepada JPNS, selain Pejabat Tanah Daerah Gombak bagi membolehkan mereka mengusahakan tanah itu dengan izin.

Malah, katanya, ada sebahagian daripada mereka telah diberi geran dan lesen menduduki sementara (TOL), selain yang lain tidak mendapat apa-apa jawapan.

“Isu ini juga pernah kami suarakan kepada Menteri Besar untuk diselesaikan. Jika tidak boleh keluarkan geran, dapat permit guna pakai pun tak apa asalkan ada hitam putih untuk kami mengusahakan tanah ini.

Penduduk Kampung Kemensah mahu JPNS memberi kelonggaran kepada mereka untuk mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian.

Kata beliau, selain ditanam pokok buah-buahan, terdapat juga antara penduduk di situ dapat menjana sumber ekonomi melalui aktiviti jualan kepada orang luar.

Jelasnya, mereka ketika ini dinasihati untuk tidak ke kawasan tersebut bagi tempoh sementara waktu susulan insiden penahanan dua penduduk berkenaan.

“Kami akan cuba cari jalan untuk memohon pertimbangan JPNS. Harapan saya isu ini dapat diselesaikan secara baik bagi membolehkan kami terus bercucuk tanam seperti biasa.

“Dulu kawasan ini hutan belantara, tiada yang mahu usahakan, tetapi kini lokasi ini menjadi tumpuan termasuk kehadiran ribuan pengunjung untuk aktiviti pendakian yang turut jana ekonomi kepada penduduk setempat.

Sementara itu, seorang penduduk Masyarakat Orang Asli, Nur Shima Abdullah, 23, berkata, tanaman sayuran serta ubi kayu diusahakan mereka turut dimusnahkan kerana dakwaan menceroboh hutan simpan.

“Kami dikenakan tindakan oleh JPNS, sedangkan kami bukan pendatang tetapi pribumi. Kenapa kami dilayan seperti ini, takkan mahu suruh kami pindah masuk jauh ke dalam hutan lagi?

“Saya adalah generasi ketiga yang mendiami kawasan ini. Apabila tindakan penguatkuasaan diambil, kami keliru dan harap JPNS dapat jelaskan isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette