Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran tidak terburu-buru melonggarkan sekatan perjalanan dan pembukaan sempadan negara yang dibimbangi akan mengundang gelombang penularan baharu Covid-19.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar (PKR) berkata, kerajaan boleh mengambil contoh apa yang berlaku Iceland dan England selepas  kedua-dua negara maju itu mengambil keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi serta kemasukan pelancong luar.

Jelas beliau, selepas beberapa bulan, negara terbabit berdepan peningkatan jangkitan kes dan menyaksikan jumlah enam angka direkod dalam tempoh empat minggu atau sebulan.

“Jadi, jangan kita buka atau beri kelonggaran secara terburu-buru dengan hanya meletakkan kebergantungan kepada vaksin semata-mata tanpa mengambil kira aspek lain.

“Aspek lain ini merangkumi keperitan rakyat dan situasi kesihatan awam, kerana tanpa penelitian menyeluruh, kita akan berdepan masalah seperti negara lain seperti Iceland dan England.

“Iceland bergantung kepada vaksin dan membuka negara mereka  dengan menerima pelawat dari luar, sekali gus mengundang peningkatan kes meskipun negara itu sudah capai liputan vaksin mencecah 85 peratus.

“Kita kena bersedia. Ini realiti yang perlu dihadapi dan tidak boleh hanya bergantung kepada vaksin,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nurul Izzah menambah, Parlimen juga wajar menjadi contoh terbaik kepada rakyat dengan mengamalkan dasar berkaitan bagi membendung risiko penularan Covid-19.

Jelas beliau, kaedah pengudaraan secara semula jadi masih tidak diterapkan di Parlimen meskipun hampir 18 bulan berdepan dengan pandemik.

Menurutnya, senario itu bakal menimbulkan tanda tanya mengenai kewajaran pelaksanaan pendekatan sedemikian dalam kalangan rakyat.

“Kalau Parlimen pun tidak buat pengudaraan secara semula jadi, sukar hendak kita harap usaha sama dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas) memuji Nurul Izzah dan meminta ahli-ahli lain Parlimen memberi ucapan yang matang seperti beliau.

Ujar beliau, pembangkang perlu tampil membentangkan pelan alternatif bagi menguruskan pandemik Covid-19, berbanding menyuarakan kritikan secara membuta tuli. – MalaysiaGazette