Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga kanan) dan Pengerusi Biro IT UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan (empatkiri) bergambar sambil melaungkan 'Hidup UMNO' pada Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap jentera Biro Teknologi Maklumat (Biro IT) UMNO dapat menjawab dengan segera  tohmahan dan persepsi buruk pihak lawan terhadap parti itu.

Beliau berkata, dengan menggunakan akaun palsu medium media sosial, pembangkang berjaya meyakini masyarakat kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal menjadi kerajaan yang baik.

“Apa yang berlaku di hadapan kita, di mana budaya buruk dan jelik yang dimainkan pembangkang melalui akaun palsu media sosial seolah-olah diterima sebaik-baiknya oleh rakyat.

“Tapi kalau kita tidak mengatasinya segera dann hanya memberi jawapan tiga hingga empat bulan kemudian, maka berlakulah seperti apa yang Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga lakukan terhadap Pas berhubung tuduhan parti itu menerima RM90 juta dari 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Media Sosial UMNO peringkat Kebangsaan di Dewan Tn Razak 4 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro IT, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut Ahmad Zahid, S.Ambiga hanya senyap daripada membuat fitnah selepas Pas menyaman Sarawak Report (SR) dan beliau akan berdepan dengan persepsi masyarakat setelah sekian lama mengeluarkan kenyataan tidak benar.

Bagaimanapun, katanya, peranan Biro IT dan Wira Keyboard UMNO seharusnya dari awal lagi membuat penyelidikan fakta dan menjawabnya dengan pasntas, bukan setelah kes itu dibawa ke mahkamah.

“Dalam keadaan ini saya yakin Biro IT UMNO dan rakan-rakan Wira Keyboard harus mengambil peranan proaktif untuk tentukan sebarang isu yang harus dijawab segera supaya persepsi negatif dapat dipadamkan dari menguasai minda rakyat.

“Apa pun, saya kagum sambutan yang amat luar biasa pernah saya saksikan dengan kehadiran anda. Saya doakan keluarbiasaan ini dapat kita terjemahkan supaya keberkesanan tugas dan tanggungjawab kita dapat dirasai oleh rakyat, bukan hanya pengundi dan ahli UMNO serta BN sahaja.

“Rakyat di luar sana harus rasa keberadaan kita sebagai wira IT UMNO dan BN,” katanya.- MalaysiaGazette

Comments are closed.