Salah seorang jentera Perikatan Nasional (PN) didakwa telah mengedarkan risalah kempen dalam pekarangan masjid waktu solat Jumaat di Masjid Jamek Tanjung Bidara di Melaka hari ini.

MASJID TANAH – Biadap!

Itu antara kata-kata yang boleh diungkapkan apabila jentera Perikatan Nasional (PN) didakwa mengedarkan risalah kempen dalam pekarangan masjid semasa solat Jumaat di sini hari ini.

Perkara itu berlaku di Masjid Jamek Tanjung Bidara ketika jemaah sedang mendengar khutbah Jumaat.

Walaupun perlakuan empat individu itu disedari segelintir jemaah masjid namun jentera PN itu tidak mengendahkannya walaupun perbuatan mereka diperhatikan orang ramai.

Antara risalah kempen PN diedar di kenderaan jemaah solat Jumaat di Masjid Jamek Tanjung Bidara, Melaka hari ini.

Lebih dikesali apabila risalah itu tertera wajah calon PN bagi kerusi N02 Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang diletakkan di cermin kereta dan bakul motosikal jemaah.

Risalah kempen PN diedar tertera muka calon PN bagi DUN Tanjung Bidara.

MalaysiaGazette juga mendapati tindakan jentera PN itu turut dirakam seorang jemaah masjid berkenan dan kini tular di media sosial. – MalaysiaGazette