Kapal Equanimity
Kapal Equanimity

KUALA LUMPUR – Penyitaan kapal layar mewah Equanimity tidak sah di sisi undang-undang serta tidak mencerminkan ketelusan pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Barisan peguam yang mewakili ahli perniagaan, Jho Low menyifatkan, rampasan kapal layar berkenaan yang dimiliki Equanimity Cayman Limited (Cayman) menyalahi undang-undang Indonesia dan keputusan mahkamah di Amerika Syarikat (AS).

Jelas mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, tindakan kerajaan Malaysia itu bertentangan dengan keputusan mahkamah di Indonesia dan AS.

“Kerajaan Malaysia nampaknya tidak berminat untuk melaksanakan prosiding yang adil.

“Pemiliki kapal layar itu, Cayman telah memfailkan tuntutan bagi mendapatkan semula aset mereka, namun dinafikan Mahathir. Kami memandang serius keadaan ini dan telah mengambil tindakan lanjut,” jelas kenyataan berkenaan.

Peguam-peguam tersebut merujuk kepada keputusan Jabatan Kehakiman AS yang mengarahkan supaya Equanimity disimpan sebagai aset Cayman sebelum mahkamah menetapkan siapakah pemilik sebenar kapal layar itu berhubung skandal 1MDB.

Menteri Kewangan, Lin Guan Eng hari ini berkata, pihaknya akan menjual Equanimity yang bernilai RM1.02 bilion bagi mendapatkan semula wang rakyat yang dicuri. – MalaysiaGazette