John Terry. foto Agensi

LONDON – Legenda bola sepak Chelsea, John Terry menjadi pilihan utama calon pengurus baharu kelab Liga Kejuaraan England, Middlesbrough.

TalkSport melaporkan Terry, 38, berada di kedudukan teratas ketika ini biarpun dia turut berdepan saingan daripada beberapa calon lain.

Bekas pengurus Middlesbrough, Tony Pulis meninggalkan kelab itu pada hujung musim ini selepas kegagalan mereka menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik Liga Kejuaraan.

Selain Terry, seorang lagi bekas pemain pertahanan England, Jonathan Woodgate turut bersaing dengan jawatan tersebut bersama Gabriel Batistuta dan Nigel Pearson.

Musim ini, Terry yang juga pemain pertahanan England itu telah menjadi pembantu pengurus Aston Villa di bawah kendalian Dean Smith.

Gandingan mereka berjaya membawa Villa melangkah ke final playoff Liga Kejuaraan menentang Derby County pada 27 Mei ini.

Pemenang perlawanan itu akan kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan. – MalaysiaGazette