Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua, kiri) menandatangani surat pendaftaran perkahwinan semasa hadir Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara Tahun 2022 di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan para pegawainya ke kawasan pedalaman menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi membantu mangsa banjir mendapatkan dokumen pengenalan diri baharu sekiranya ia hilang dalam bencana.

Menteri Dalam Negeri Interim, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ia merupakan satu insiatif bagi memastikan setiap rakyat mempunyai identiti pengenalan diri bagi tujuan mengundi.

Katanya, beliau telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada JPN dan ia dilakukan untuk menjaga kepentingan rakyat dalam usaha memastikan peratusan keluar mengundi menepati sasaran.

“Saya sudah maklumkan kita kena bersedia untuk kepentingan rakyat, kalau dokumen tak ada, peratusan mereka yang mengeluar undi agak rendah.

“Ia tidak sesuai… sebuah negara bertamadun dan berdaulat seperti kita ini (peratusan) keluar mengundi rendah dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-74 di sini hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai situasi banjir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, Hamzah berkata, bencana air itu telah pun berlaku di beberapa kawasan pada masa ini.

“Saya cuba cerita, memang betul di Langkawi banjir dua tiga hari sudah, di Sarawak sebelum itu di Johor, itu fakta di Tanjung Karang pun berlaku minggu lepas,” tambahnya.

Menjawab pertanyaan mengenai persiapan yang dilakukan oleh anggota pasukan keselamatan, Hamzah memberitahu, segala persiapan rapi telah pun dibuat tetapi tidak melibatkan keseluruhan kawasan.

Katanya, persiapan itu hanya ditumupkan di kawasan yang dijangka mengalami banjir sahaja.

“Sebab itu kita kata dalam keadaan biasa, kita sentiasa bersedia, sebab dalam Malaysia banjir merata rata, tidak datang sekali, semalam di Langkawi, sebelum itu di Johor dan Sarawak.

“Jadi sebab itu ia (banjir) berlaku secara merata-rata, sebab itu kita bersedia menghantar ke tempat tertentu. Kalau nak kata bersedia ke semua tempat sekali, saya minta maaf tak bersedia. Tapi untuk kawasan tertentu kita bersedia,” jelasnya. – MalaysiaGazette