Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR memberi jaminan bahawa proses pemilihan kepimpinan di peringkat pusat dan cabang bagi Perak esok akan berjalan lancar.
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR memberi jaminan bahawa proses pemilihan kepimpinan di peringkat pusat dan cabang bagi Perak esok akan berjalan lancar.

IPOH – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR memberi jaminan bahawa proses pemilihan kepimpinan di peringkat pusat dan cabang bagi Perak esok akan berjalan lancar.

Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu, Dr Adzman Hedra berkata persediaan antaranya dari segi logistik dan jentera telah lengkap dan ia menggunakan format yang sama seperti negeri lain memandangkan Perak adalah negeri terakhir di semenanjung mengadakan pemilihan PKR.

“Kita juga menggunakan formula (persediaan) yang mana 40 peratus anggota akan pergi mengundi di setiap cabang walaupun sasarannya 30 peratus (mengundi), jadi persediaan di tempat mengundi juga tiada masalah kerana kita guna formula itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Seramai 60,878 anggota parti disahkan layak mengundi pada hari pemilihan esok manakala 250 petugas akan ditempatkan di 24 cabang mengundi.

Menurut Adzman, kesemua 24 cabang tempat mengundi esok akan dibuka secara serentak pada pukul 10 pagi dan berakhir pukul 5.00 petang.

Beliau berkata keputusan boleh diumumkan kira-kira pukul 6.00 petang oleh ketua pengawas JPP di 24 cabang mengundi itu dan keputusan sepenuhnya dijangka dimuatnaik di portal www.pemilihankeadilan2018.com kira-kira pukul 9.00 malam esok.

Mengenai kelewatan terhadap keputusan pemilihan yang dihadapi beberapa negeri, Adzman berkata JPP telah mengemaskini aplikasi pemilihan dengan beberapa penambahbaikan.

“Kami mengesan kegagalan setiap langkah penggunaan aplikasi meliputi setiap langkah mengundi bermula dari log masuk sehingga selesai mengundi. Sekiranya berlaku kesilapan, laporan secara terus dihantar kepada kami untuk kami kenal pasti masalah yang berlaku, jadi prestasi aplikasi dapat dipantau secara masa sebenar.

“Sandaran kedua diwujudkan di dalam aplikasi ini dengan ID pengundi akan dikod dan undian disimpan di dalam aplikasi simpanan kunci nilai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan parti supaya merancang untuk membawa anggota mengundi secara berjadual bagi mengelak kesesakan di pusat pengundian.

Pemilihan PKR Perak sepatutnya diadakan pada 23 Sept lepas, namun ditangguhkan ke satu tempoh susulan beberapa masalah yang terjadi semasa pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang sehari sebelum itu.

Pada pemilihan kali ini, PKR Perak menyaksikan 54 calon merebut jawatan ketua cabang manakala 1,183 lagi menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan lain di peringkat cabang.

— BERNAMA