Ayob Khan Mydin Pitchay . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR- Jangan jadikan aku janji yang dibuat setiap bulan sebagai janji ‘kertas tisu’ yang tiada nilai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada lagi amaran akan diberikan kepada Ketua Polis Daerah yang gagal memerangi aktiviti perjudian di kawasan mereka seperti yang dijanjikan dalam aku janji sebelum ini.

Menurut beliau, tindakan akan diambil ke atas mereka yang gagal mengambil tindakan terhadap aktiviti perjudian yang diadu oleh orang ramai.

Tambahnya, setiap Ketua Polis Daerah yang telah menandatangani aku janji kini tidak mempunyai alasan mengapa mereka tidak boleh bertindak terhadap aduan masyarakat terhadap kegiatan haram itu.

“OCPD (Ketua Polis Daerah) setiap bulan tanda tangan aku janji, jika ada aku janji tak perlukan amaran. Jangan janji sekadar janji kertas tisu tiada nilai,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain hari ini mengambil alih tugas kepimpinan tertinggi Kontinjen Kuala Lumpur daripada Pemangkunya, SAC Datuk Abu Samah Mohd Noor.

Sementara itu, Ayob Khan memberitahu, beliau menerima maklumat Terdapat Ketua Polis Daerah Kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati Task Force D7 dari JSJ Bukit Aman mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

Katanya, Ketua Polis Daerah perlu berpegang teguh aku janji tersebut dan mereka perlu memastikan tindakan yang diambil selaras dengan prinsip, etika dan undang-undang.

Beliau yang mengakui aktiviti perjudian masih berleluasa menambah, arahan operasi ke atas perjudian diteruskan sejak beliau mengambil alih tugas sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman.

“Ia akan mengambil masa untuk diselesaikan tetapi paling penting adalah konsistensi pegawai dalam mengadakan operasi dan koordinasi antara polis, pihak berkuasa tempatan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menggembleng tenaga menghapuskan aktiviti perjudian haram ini.

“Saya memang menerima aduan masyarakat mendakwa pusat perjudian masih beroperasi walaupun diserbu dan diambil tindakan.

“Tetapi, mereka kena faham bahawa proses membatalkan lesen permit premis perjudian haram akan mengambil masa sebab PBT perlu menunggu keputusan mahkamah tetapi Alhamdulillah TNB mengambil tindakan memotong elektrik setiap kali kita membuat serbuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette