Nazri Aziz Senators Dewan Negara anti-party hopping Dewan Rakyat
Nazri Aziz

KUALA KANGSAR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan kebanyakan Ahli Dewan Rakyat UMNO mahu bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata kepada Sinchew Daily, arus keluar parti yang berlaku sekarang merupakan fenomena Ahli Parlimen UMNO yang “tidak sabar” dan “terburu-buru” mahu mencapai matlamat masing-masing melalui “lompat” .

Mohamed Nazri juga mengakui dirinya sudah banyak kali bertemu dengan pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan hasrat UMNO untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Bagi beliau, Anwar bersifat lebih lembut dan merupakan pemimpin yang boleh dibawa untuk berbincang.

Beliau berkata, sekumpulan pemimpin UMNO pula bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyampaikan hasrat kerjasama.

Menurut bekas menteri itu, Dr. Mahathir memberi lampu hijau secara bersyarat untuk kerjasama itu iaitu mahu UMNO dibubarkan, syarat yang sukar dipenuhi.

“Dr. Mahathir kata mahu bubar UMNO dulu, oleh itu kami perlu bekerjasama dengan bakal Perdana Menteri iaitu Anwar.

“Kami tidak mahu lompat, tetapi mahu bekerjasama melalui UMNO, dan UMNO tidak boleh dibubarkan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Mohamed Nazri berkata, dalam keadaan ketiadaan pilihan, Anwar merupakan pilihan yang ada.

“Saya berharap boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan melalui Anwar kerana beliau bersifat lebih lembut dan perundingan boleh dijalankan dengannya,” katanya.

Wakil rakyat Padang Rengas itu juga mengakui pernah berjumpa dengan Anwar sebanyak beberapa kali untuk menyatakan hasrat kerjasama.

“Walaupun begitu, ia bukanlah ‘perjumpaan rahsia’ seperti yang digambarkan media tertentu,” jelasnya. – MalaysiaGazette