Seorang jurujual alat ganti kepala tong gas membuat laporan polis selepas dituduh palsu pecah masuk rumah dan merompak serta gambarnya dirakam dan ditularkan di media sosial dalam kejadian Khamis lalu. Ihsan Polis Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki membuat laporan polis selepas gambar yang memaparkan beliau cuba memecah masuk dan merompak sebuah rumah di Klang, Selangor tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan itu dibuat pada jam 8.42 pagi semalam.

“Lelaki yang bekerja sebagai seorang jurujual barangan alat ganti kepala gas menyatakan bahawa pada Khamis lalu jam lebih kurang 6 petang, dia terkesan gambar miliknya telah ditularkan di dalam Facebook oleh seorang pemilik akaun bernama Sharifah Hassan yang mendakwanya (pangadu) mahu memecah masuk ke dalam rumah dan cubaan untuk merompak.

“Gambar dan kenyataan tersebut juga telah ditularkan di dalam grup WhatsApp penduduk kawasan Jalan Kebun dan Sungai Udang,” kata beliau dalam kenyataan petang tadi.

Tambah Hoong Fong, siasatan polis mendapati individu berkenaan telah pergi ke sebuah rumah di kawasan Sungai Udang, Klang pada jam 2 petang Khamis lalu dan menawarkan perkhidmatan pertukaran kepala gas kepada seorang wanita.

Namun, ujarnya, lelaki itu mendapati pemilik rumah tersebut mengambil gambarnya dan beliau mengesyaki wanita tersebut telah menyebarkannya kepada pihak ketiga sebelum ditularkan di laman media sosial.

“Terkejut dan kecewa insiden gambar tular itu, lelaki berkenaan segera tampil membuat laporan polis sebagai tindakan menafikan tuduhan tidak berasas itu.

“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan
tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.

Hoong  Fong berkata, siasatan masih dilakukan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut. – MalaysiaGazette