Jurulatihnya, Chok Kong Yu (kiri) bercakap kepada media bersama atlet karate pekak negara, V. Yilamaran ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi pingat perak dalam acara karate kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) di temasya sukan Deaflympic 2021 di Brazil di Sepang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 07 MEI 2022.

SEPANG – Jurulatih Atlet Karate Pekak Malaysia, Chok Kong Yu yang berhasrat untuk bersara akan bersama Yilamaran Vispalinggam sehingga jurulatih baharu yang dilantik.

Katanya, beliau akan meluangkan masa bersama keluarga apabila bersara.

“Selepas ini saya akan membawa Yilamaran untuk sparing (berlatih bersama) dengan atlet lain terutama dalam Majlis Sukan Negara di Johor kerana di sana ada ramai rakan sparing yang berpotensi untuk membawa dia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Yilamaran melakar sejarah apabila menyumbangkan pingat perak dalam acara karate pada Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil.

Beliau mengakui Yilamaran berdepan masalah kekurangan rakan latihan juga memerlukan jurulatih baharu yang boleh berkomunikasi baik supaya latihannya berjalan lancar.

“Tapi masa ini saya akan kekal untuk melatih sehingga mendapatkan jurulatih yang terbaik. MSN (Majlis Sukan Negara) dan MS Deaf akan mengadakan perbincangan mengenai soal calon jurulatih.

“Ini tidak bermakna saya akan meninggalkan Yilamaran sepenuhnya, sebaliknya saya akan bertugas di bahagian teknikal sementara jurulatih baharu Yilamaran dilantik, bermakna dia masih dalam pemerhatian saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette