Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Jurulatih dari Sepanyol apabila disebut-sebut sebagai pengganti E. Elavarasan yang meletak jawatan pada minggu lalu bagi mengemudi skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23).

Antara nama yang berada radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah Juan Torres Garrido yang merupakan pembantu Elavarasan sebelum ini.

Malah, FAM juga dilaporkan akan mengambil jurulatih tempatan sebagai pembantu Garrido dalam skuad Malaysia B-23 dan difahamkan adalah bekas jurulatih Felda United, Nidzam Jamil.

Nidzam kini bertugas sebagai pembantu jurulatih skuad Selangor FC.

Garrido memiliki lesen kejurulatihan A UEFA dan mempunyai pengalaman luas bersama pemain muda semasa di Eropah.

Sebelum ke Malaysia, dia pernah berkhidmat bersama FC Barcelona sebagai ketua pencari bakat bagi wilayah Catalunya.

Garrido juga pernah dilantik sebagai Ketua jurulatih skuad bola sepak remaja profesional B-23  bersama kelab La Liga, Granada CF.

Sementara itu, laporan media menyebut FAM mempunyai perancangan lain sekiranya ada masalah membabitkan Garrido iaitu tempatnya akan diganti oleh Pau Marti Vicente yang kini berkhidmat sebagai pembantu Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Vicente merupakan bekas penolong jurulatih Barcelona B-18 dan mempunyai pengalaman luas di peringkat pembangunan bersama akademi terkenal milik Barcelona FC, iaitu La Masia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman sebelum ini mengesahkan senarai akhir barisan kejurulatihan skuad muda negara itu sudah ada dan akan diumumkan presiden badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat.

Tugasan besar yang sedang menanti pengendali baharu skuad Malaysia B-23 ialah saingan Piala Asia B-23 yang bakal berlangsung di Qatar tahun depan. – MalaysiaGazette