Timbalan presiden kanan sebuah syarikat kejuruteraan, Ahmad Hatta Kamaruzaman, 50 (kanan) keluar daripada mahkamah selepas membayar jaminan sebanyak RM 20,000 atas pertuduhan menipu sebuah syarikat minyak untuk menyenaraikan syarikatnya sebagai sebuah syarikat berkelayakan dan berstatus bumiputera di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI,11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang jurutera yang juga timbalan presiden kanan sebuah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah memperdayakan sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka.

Tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didakwa menipu syarikat tersebut untuk menyenaraikan syarikatnya sebagai sebuah syarikat berkelayakan dan berstatus bumiputera, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Hatta Kamaruzzman yang juga merupakan Ketua Aker Engineering mengaku tidak bersalah selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi hari ini.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hatta, 50, dituduh sebagai ejen kepada syarikat kumpulan Aker Solutions dengan niat telah mengemukakan dokumen bagi menyenaraikan Aker Engineering Malaysia sebagai syarikat berkelayakan dan berstatus Bumiputera pada 7 Ogos 2018.

Ini bertentangan memandangkan tertuduh sebenarnya sedia maklum bahawa Aker Engineering bukanlah berstatus bumiputera.

Tertuduh juga didakwa telah menipu dengan menyembunyikan fakta sebenar pemilikan saham syarikat tersebut yang mana berkepentingan benefisiari sebenar adalah syarikat Kumpulan Aker Solution.

Mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, ketika prosiding pagi ini, Timbalan  Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan wang jaminan antara RM10,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun jumlah tersebut dan tawaran oleh pendakwaan tidak dibantah oleh peguam mewakili Ahmad Hatta, S. Devandran.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 30 Julai ini. -MalaysiaGazette