HONG KONG – Keengganan Cristiano Ronaldo untuk bermain ketika Juventus berhadapan K League All Stars di Seoul pada Jumaat lalu akan menyebabkan kelab itu kehilangan AS$675,000 daripada AS$3 juta yuran perlawanan, menurut laporan.

Media Korea Selatan, MBC berkata, jumlah tersebut akan ditolak dari juara Liga Itali selepas pemain itu dilihat enggan beraksi dalam perlawanan persahabatan tersebut, lapor South China Morning Post.

Laporan selanjutnya mencadangkan kegagalan Ronaldo muncul dalam perlawanan itu, seperti yang telah ditetapkan dalam kontrak, merupakan salah satu daripada beberapa perbuatan salah yang dilakukan dalam tempoh beberapa jam berada di negara tersebut semasa jelajah Asia.

Akaun Twitter Korea Football News mendakwa juara Serie A itu hanya tiba di Korea Selatan lima jam sebelum sepak mula dan tiba di stadium selepas perlawananan sepatutnya telah bermula, menyebabkan permainan dilewatkan hampir sejam di stadium yang dipenuhi 65,000 penonton.

Selain itu, Ronaldo juga didakwa gagal menghadiri sesi bertemu peminat, satu lagi komitmen kontrak dalam kunjungan kelab tersebut.

Kelab Itali itu juga kini berhadapan dengan serangan daripada peminat di Korea Selatan berikutan tingkah lakunya itu.

Juventus telah bersetuju dengan promoter, The Fasta, bahawa pemain termahalnya akan menghadiri sesi bertemu peminat dan bermain sekurang-kurangnya selama 45 minit dalam perlawanan persahabatan di Stadium Piala Dunia di Seoul namun beliau tidak menunaikan kedua-dua komitmen itu.

Kapten Juventus warga Portugal itu memilih untuk tidak menghadiri sisi bertemu peminat bagi ‘menyiapkan diri untuk perlawanan ‘sebelum enggan bermain dalam perlawanan tersebut kerana masalah otot’, menurut wartawan Korea Selatan, Steve Han.

Peminat di Korea Selatan menyatakan di laman sosial media supaya menjauhkan diri daripada kelab itu pada masa depan, dengan kebanyakan mereka berikrar akan setia kepada pesaing Ronaldo, Lionel Messi.

Peminat di stadium melaungkan nama Messi semasa perlawanan yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Kira-kira 2,000 peminat menyaman promoter perlawanan, menurut kenyataan firma guaman, Myungan, pada Isnin lalu.

K League turut menghantar surat bantahan kepada Juventus, menurut agesi berita, Yonhap.

Berbeza di Korea Selatan, Ronaldo bermain pada perlawananan sebelum itu ketika pasukannya menentang Inter Milan di Nanjing, China yang mana pemain tersebut menjaringkan gol penyamaan.

Dalam akaun twitternya, dia menyatakan: “Sentiasa seronok menemui anda China.

Pemain itu telah melawat China setiap tahun sejak tiga tahun lalu, walaupun pasukannya tiada perlawan di negara tersebut.

Perlawanan pada Jumaat lalu berkesudahan seri 3-3. – Agensi