A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR- Ketua Media dan Komunikasi, Majlis Penasihat Negara, Datuk A. Kadir Jasin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana membuat fitnah berhubung perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak polis setakat ini telah menerima tiga laporan mengenai perkara itu.

“Kami telah membuka kertas siasatan selepas menerima dua laporan polis di Lembah Klang dan satu di Kelantan yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 13/2018 di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, pihak polis akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan seterusnya.

Semalam, A. Kadir di dalam blognya menulis mengenai perbelanjaan mewah Sultan Muhammad V iaitu sebanyak RM257 juta dalam tempoh 16 bulan.- MalaysiaGazette