Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) bergambar bersama para tetamu yang hadir ketika Majlis Perasmian Penutup Ekspresi @Finas di Kompleks Studio Merdeka Finas, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 24 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mengkaji semula Akta Hak Cipta 1987 khususnya melibatkan tempoh pembayaran royalti terhadap karya filem yang kini dilihat masih gagal melindungi kebajikan penggiat seni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini, penggiat seni hanya mendapat bayaran secara one-off sedangkan royalti tidak dapat dinikmati jika sesebuah filem itu ditayangkan semula.

“Saya minta sekarang ini perlu disemak balik dilihat semula bagi kepentingan dan membela artis. Ramai dalam kalangan artis filem dan sebagainya sudah pun berumur, menghadapi masalah untuk menyara hidup.

“Kalau mereka dapat royalti berterusan, tentu sahaja mampu untuk menjaga kepentingan mereka di hari tua,” katanya kepada pemberita di Filem Nasional Negara (Finas) hari ini.

Dalam pada itu, usaha untuk membela golongan penggiat seni itu telah dimulakan Ismail Sabri sendiri ketika menggalas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebelum ini.

“Akta Hak Cipta berkaitan penyanyi, komposer dan sebagainya telah kita pinda ketika saya menjadi Menteri KPDNKK tapi waktu itu saya juga sedang berbincang dengan pihak industri perfileman.

“Waktu itu tengah kecoh anak Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang susah kehidupannya sedangkan filem P. Ramlee ditayangkan setiap minggu dalam tv (televisyen) tapi mereka tak dapat apa-apa,” katanya.

Sebagai kerajaan Keluarga Malaysia, menurutnya, sekiranya beliau dilantik semula menerajui negara, beliau akan memastikan akta itu ditambah baik untuk membela nasib penggiat seni.

“Seperti mana kita tahu, pelakon-pelakon terutamanya dibayar one off. Apabila mereka diterima berlakon, mereka telah ditawarkan beberapa jumlah bayaran, bila bayaran itu diterima, itu sahajalah.

“Bila filem untung banyak ke, filem itu tayang banyak kali dalam tv dan sebagainya pun, mereka tak dapat apa-apa hasil daripada royalti.

“Lepas ini saya akan panggil beberapa penggiat seni filem untuk berbincang semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette