Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Kata beliau, walaupun penggubalan itu sah di sisi Perlembagaan Persekutuan, tetapi masih ramai keliru dengan pengumuman itu, sedangkan akta berkenaan adalah untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam.

Akta itu, katanya, tidak langsung membawa maksud menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap sesama warganegara bukan Islam kerana hak itu selaras dengan peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya”.

Katanya, penggubalan undang-undang itu juga selaras dengan Perkara 11 (4) yang menyatakan, “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

“Oleh itu, penggubalan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan ianya sah serta perlu dihormati.

“Pada masa sekarang, pendakwaan terhadap kesalahan di bawah Enakmen sebegini di negeri-negeri perlu dibuat di Mahkamah Sivil walaupun undang-undang itu sendiri di bawah bidangkuasa Majlis Agama Negeri-Negeri.

“Ini menimbulkan kesulitan dalam penguatkuasaan undang-undang ini kerana perlukan libat urus antara penguatkuasa agama Islam, polis dan Mahkamah Sivil, tambahan pula struktur penguatkuasaan sekarang memisahkan antara pendakwaan syarie dan pendakwaan sivil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Faiz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad seharusnya melihat hal itu sebagai kekangan dalam penguatkuasaan dan mencadangkan cara bagi mengatasi masalah berkenaan.

Di samping itu, beliau mencadangkan Idris memberikan tumpuan kepada aspek latihan penguatkuasaan dan pendakwaan kepada penguatkuasa agama dan polis kerana sepanjang pengetahuan umum, undang-undang itu jarang sekali dikuatkuasakan melalui pendakwaan di mahkamah kerana wujud isu kefahaman teknikal undang-undang yang belum dirungkaikan.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) bagi akta itu perlu dibawa ke Parlimen kerana ianya bertujuan untuk dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan.

“Sesungguhnya undang-undang ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana undang-undang yang sama telah lama wujud di dalam bentuk Enakmen dihampir semua negeri-negeri di Malaysia.

“Sebagai contoh di Kedah, undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 1988, Johor pada tahun 1991 dan Selangor pada tahun 1988.

“Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang belum menggubal, melulus dan mewartakan undang-undang ini,” katanya.

Justeru, kata beliau, akta baharu yang dicadangkan itu adalah satu undang-undang sedia ada selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan polemik politik untuk mewujudkan keresahan serta ketegangan kaum dalam kemajmukan Malaysia. – MalaysiaGazette