Pengerusi MyHSR Corp, Tan Sri Esa Mohamed bercakap pada sidang media berhubung perkembangan terkini mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Spekulasi kononnya kerajaan telah memutuskan projek alternatif untuk menggantikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah tidak benar sama sekali.

Seandainya ada perancangan sedemikian, prosesnya tidaklah begitu mudah kerana memerlukan kajian mendalam dan terperinci terlebih dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR), Datuk Mohd Nur Ismal Kamal berkata, pastinya kajian projek gantian itu mengambil masa lebih panjang.

“Ini kerana kerajaan hanya akan mengambil keputusan terhadap projek gantian, setelah kajian daya maju, yang akan dimulakan tidak lama lagi, dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Tetapi semua itu bergantung kepada hasil kajian yang kita buat kelak, boleh jadi ia projek HSR dan mungkin sesuatu yang berbeza,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Pengerusi MyHSR, Tan Sri Ar TPr Esa Mohamed di Grand Dorsett Kuala Lumpur.

Esa Mohamed bersama Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal (kanan) pada sidang media berhubung perkembangan terkini mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 JANUARI 2021.

Dalam pada itu, Esa Mohamed juga berkongsi pandangan berhubung kepentingan projek mega ini yang pastinya cukup signifikan untuk ekonomi negara kelak.

“Kita akan jalankan kajian untuk lihat apakah boleh projek ini berdaya maju jika ianya diteruskan.

“Saya masih yakin ianya satu keperluan untuk kita teruskan projek ini, contohnya, apabila China mula membangunkan rel berkelajuan tinggi sepanjang sekitar 30,000 kilometer dan negara mereka berubah jauh lebih baik dari sebelumnya.

”Kita juga begitu,” ujarnya.

Sebelum ini wujud spekulasi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor Bahru menggantikan HSR.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci untuk menentukan hala tuju seterusnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kaji lah sampai hangpa mampos …bila kaji banyak lagi fulus keluar …lepas tu bila dah siap nk laksana saja ..datanglah tangan lain pulak yang membatal semua ..last malaysia jadi negara takdak apa ..habis belanja kajian habis belanja bayar pampasan…kata bangang marah tp mmg bangang pun yang dok ada ..boleh belah lah.

Comments are closed.