Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar bercakap kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kaum India di negara ini dinasihatkan agar tidak resah dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya melantik seorang wakil daripada kaum tersebut dalam barisan Kabinet.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, tugas membela kesejahteraan dan kebajikan kaum India bukan hanya terletak di bahu beliau malah ia peranan seluruh jemaah menteri.

“Masalah masyarakat India tidak semestinya terletak atas bahu saya sahaja. Itu adalah tanggungjawab yang harus dipikul oleh semua jemaah menteri dengan dasar-dasar yang dibuat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, tidak perlu mencetuskan sentimen kebajikan kaum India akan terabai kerana masih ramai ahli Parlimen dalam kalangan bangsa tersebut yang akan bersuara di Dewan Rakyat.

“Dalam Parlimen, kita juga ada ramai wakil rakyat kaum India yang boleh membantu masyarakat India dan melihat aspirasi kaum India untuk memastikan kaum ini tidak tertinggal dalam segala dasar-dasar yang dilaksanakan,” ulasnya,

Dalam pada itu, beliau yang selesai mengadakan pertemuan dengan warga kementerian turut memaklumkan agenda pengukuhan dasar sumber manusia akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.

“Setakat ini belum ada apa-apa lagi perancangan dasar. Beri saya ruang selama lebih kurang seminggu atau dua minggu untuk saya tahu secara terperinci tentang segala operasi berkaitan kementerian,” katanya.

Mengulas mengenai pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus, beliau menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin bersama-sama mendalami kesusahan rakyat.

“Saya rasa itu tindakan yang wajar dalam keadan ekonomi kita hari ini selain rakyat juga susah dengan kos sara hidup tinggi. Ini tindakan baik sebab kita pun turut bersama merasai kesusahan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette