Seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan akan diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 9 hingga 22 Julai ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kaunter kerajaan bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sepenuhnya.

Bagaimanapun menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, perkhidmatan kesihatan, balai polis dan pintu-pintu masuk antarabangsa melibatkan urusan perkastaman, imigresen serta kuarantin masih dibenarkan beroperasi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) pengoperasian pejabat kerajaan dalam kawasan yang diumumkan PPKPD adalah seperti yang dikeluarkan pada pekeliling bertarikh 30 Mei lalu.

Menurut  Mohd Zuki, ia tertakluk berdasarkan arahan pengoperasian pejabat kerajaan dalam tempoh PKP Fasa 1 pelan Pemulihan Negara.

“Selaras dengan arahan tersebut SOP pengoperasian pejabat kerajaan semasa tempoh PKPD bagi kawasan terlibat akan mengguna pakai arahan pengoperasian pejabat kerajaan yang telah dikeluarkan pada 30 Mei 2021 (Pengoperasian Pejabat Kerajaan dalam tempoh Perintah kawalan Pergerakan Fasa 1)” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD  di lapan daerah dalam Selangor yang membabitkan 34 buah mukim.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, sebanyak 14 lokaliti di Kuala Lumpur turut dikenakan PKPD.

Arahan tersebut berkuat kuasa 3 hingga 16 Julai ini.-MalaysiaGazette