Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menunjukkan gambar dan maklumat orang yang dikehendaki dipercayai terlibat dalam seberan video lagu raya yang mempromosikan judi atas talian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bahawa kedua-dua video iklan raya judi adalah daripada produksi yang sama.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah bagaimanapun berkata video kedua itu adalah dari pelakon-pelakon yang berbeza dengan video pertama.

“Video kedua ada beberapa orang pelakon lelaki dan wanita. Mengikut maklumat awal yang kita dapat, adalah daripada produksi yang sama.

“Video pertama dan kedua adalah daripada produksi yang sama.

“Cumanya pelakon yang berbeza. Difahamkan pelakon yang video pertama dan kedua ada kaitan. Mereka mengenai satu sama lain. Kita sedang mengesan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, pihaknya telah berjaya menahan seorang lagi suspek penyebaran video berkenaan.

“Video pertama juga kita telah menahan seorang lagi suspek yang kita percaya boleh membantu siasatan dalam kes tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, polis turut sedang memburu agen kepada pembikinan kedua-dua video berkenaan.

Suspek terbaharu itu dipercayai dapat menyelesaikan siasatan terhadap penularan video terbabit.

“Kita juga mempunyai maklumat iaitu seorang lelaki bernama Loh Kee Heo 35 tahun yang kita percaya boleh membantu siasatan,” jelas Mohamad Zainal lagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menunjukkan gambar dan maklumat orang yang dikehendaki dipercayai terlibat dalam seberan video lagu raya yang mempromosikan judi atas talian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

Mengulas lanjut, beliau turut mengesahkan bahawa hanya dua individu yang ditahan daripada lapan individu tersebut.

Kedua-dua individu itu adalah pengarah produksi video berkenaan dan jurukameranya.

“Daripada lapan-lapan individu, dua daripadanya adalah pertama pengarah produksi daripada syarikat perfileman. Yang kedua adalah jurukamera yang direman termasuk seorang agen yang mencari pelakon.

“Yang masih bebas ini, kita percaya boleh membantu lebih banyak lagi siasatan untuk mencari siapa dalang disebalik video ini,” katanya lagi.

Kedua-dua mereka direman mula hari ini sehingga 21 April depan bagi membantu siasatan.

Kedua-dua individu itu dipercayai adalah penganjur kepada aktiviti judi online tersebut. – MalaysiaGazette