Bermula esok, semua cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan kembali beroperasi seperti biasa.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa Teresa Kok tidak mempunyai kerja lain melainkan membangkitkan isu-isu yang tidak relevan terutama ketika pekebun getah dan kelapa sawit bergelut dengan kejatuhan komoditi itu.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Industri Utama itu mendedahkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperdaya dan memaksa Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjual 2,800 ekar tanah pada harga bawah pasaran sebanyak hanya RM1.5 bilion pada tahun 2010.

Kata Teresa, LGM secara arbitrari dibayar RM1.5 bilion dan selepas itu tanah seluas 2,800 ekar tersebut dibeli oleh anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KWASA Land pada harga RM2.28 bilion.

Menteri itu mendakwa LGM telah diperdaya kerana terdapat jurang perbezaan kira-kira RM800 juta.

Bekas Perdana Menteri yang menjawab dakwaan itu mengakui transaksi penjualan tanah membabitkan LGM, Aset Tanah Negara Berhad (ATNB) dan KWASA Land.

Katanya, LGM dan ATNB adalah agensi milik penuh kerajaan Malaysia.

Tegas Najib, harga jualan tanah itu adalah munasabah, mengikut harga pasaran serta mengikuti harga yang telah dianalisa ketika itu.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, KWASA Land yang dimiliki sepenuhnya oleh KWSP kemudian telah memajukan tanah berkenaan dengan pembinaan pusat bandar baharu, Kwasa Damansara.

Bandar baharu yang terletak di Subang itu dibangunKan untuk populasi kira-kira 150,000 orang dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM50 bilion.

Projek itu terdapat dalam Perancangan Strategik untuk Pembangunan Wilayah seperti diumum di dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Najib berkata, projek pembangunan itu telah memberi peluang kepada KWSP mengaut keuntungan berpuluh-puluh bilion, yang akhirnya memberi faedah kepada pencarum-pencarum.

Secara sinis, beliau berkata, keji sangat kerajaan BN yang menjaga kroni-kroni KWSP yang merupakan para pencarum KWSP.

Malah, beliau turut menempelak Teresa dengan berkata; “Adakah Teresa Kok tidak ada kerja lain seperti memelihara nasib pekebun ataupun menaikkan harga sawit dan menubuhkan kelab kelapa sawit?

“Kalau macam ini, saya rasa mungkin lebih baik untuk beliau fokus kembali kepada rancangan payung pokok getah dan duta sawit dia,” seloroh Najib. – MalaysiaGazette