KOTA BHARU – Semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan Pas Kelantan akan terus kekal sehingga mendapat arahan lanjut daripada ibu pejabat parti itu biarpun beberapa pemimpin utama parti itu mendesak supaya semua Exco Pas meletakkan jawatan dalam Kerajaan PKR Selangor.

Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, sehingga kini pihak belum menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan parti itu supaya meletakkan jawatan.

Justeru beliau berkata, pihaknya tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru sehingg arahan selanjut dikeluarkan.

“PKR Kelantan bagaimanapun akan akur apa jua keputusan dibuat pimpinan tertinggi parti,” katanya di sini hari ini.

Pas sebelum ini mengekalkan status quo pemimpin dan lantikan politik daripada PKR dalam Kerajaan Pas Kelantan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Bagi Pas, lantikan dalam kerajaan adalah membabitkan perkhidmatan kepada rakyat secara langsung dan bukannya melibatkan parti.

Malah jawatan penyelia Parlimen bagi kawasana yang kalah dalam pilihan raya umum lalu iaitu, Tanah Merah, Ketereh dan Machang yang diberikan kepada PKR turut dikekalkan.

Kerajaan Pas Kelantan juga mengekalkan tiga penyelia daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Nenenggiri dan Kuala Balah. Kedudukan ADUN Guchil dalam DUN Kelantan juga masih kekal di barisan penyokong kerajaan.