Home Politik Kelab Aku Budak Chow Kit mengaku pasang poster tolak Johari

Kelab Aku Budak Chow Kit mengaku pasang poster tolak Johari

Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa di Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 03 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Selepas seminggu sejak laporan polis dibuat oleh UMNO Titiwangsa, sebuah kumpulan NGO hari ini tampil membuat pengakuan bertanggungjawab dalam memasang memasang poster dan banting #TolakJohariGhani sebagai tanda penolakan mereka terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tindakan memasang poster dan banting tersebut diakui dilakukan oleh Kelab Aku Budak Chow Kit (KABCK) sebagai tanda protes terhadap Johari yang dianggap gagal memberi perkhidmatan terbaik di Parlimen tersebut.

“Sebenarnya KABCK tak ada bersangkut-paut dengan badan politik, cuma kami nak beritahu Johari supaya dia lebih prihatin dengan pengundi dia.

“Kami dulu penyokong kuat Johari tapi akhir-akhir ini kami kecewa dengan perkhidmatan dia sebagai wakil rakyat,” kata Pengerusi kelab tersebut Ahmad Ayob Ramli.

Katanya, langkah membantah itu juga bertujuan supaya Menteri Kewangan Kedua itu sedar mengenai perkhidmatannya yang kurang baik.

Justeru kata Ahmad Ayob, KABCK meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggantikan Johari dengan calon lain untuk mewakili Barisan Nasional di Titiwangsa pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Terdahulu, tular poster dan kain rentang ‘Say No!! To DJ’ dan ‘kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ di kawasan Titiwangsa.

Poster yang tersebar menerusi laman sosial digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat. Ia adalah antara kawasan dalam Parlimen Titiwangsa.

Pada PRU ke-13, Johari berjaya merampas kerusi parlimen Titiwangsa daripada Pas dengan majoriti kecil, iaitu 866 undi. – MalaysiaGazette